"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian
kecuali orang yang beriman dan beramal soleh yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran."
(Al 'Asr 103: 1-3)
Saxophone-09 I Know Inst Lee Jung Sik

Powered by mp3crop.com

Sunday, November 11, 2012

Ajarkan Aku!


Bismillahirrahmanirrahim.
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
Salam ukhuwah.



“Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah:32). Sudah semestinyalah Allah yang Maha segalanya sepanjang masa.

Lewat malam itu, kami berkumpul bersama demi mendengar peringatan-peringatan yang mampu melonjakkan iman. Tiba-tiba sebuah soalan dilontarkan kepada kami; “Kenapa Rasulullah menyeru golongan muda, golongan pemuda-pemuda untuk memeluk agama Islam?” Pada ketika itu, semua yang berada di situ diam memikirkan jawapan kepada lontaran soalan yang tidak terjangkau dek akal itu. Beliau menyambung lagi; “Pada zaman baginda, sahabat-sahabat bukanlah mereka yang sebaya dengannya, malah lebih muda. Saidina Ali karamallahuwajhah sendiri contohnya, baginda didik sejak dari kecil.” Suasana masih lagi sunyi. “Ini kerana, golongan pemuda ini mempunyai semangat yang berkobar-kobar. Dalam apa pekerjaan yang dilakukan, pasti akan disertai dengan kesungguhan oleh golongan muda ini. Macam antunna semua ni.”

Di mata aku, beliau sangat hebat. Seorang murobbiyah yang penuh dengan ilmu. Disebalik wajah berusianya itu, langsung tidak dapat menyembunyikan ketegasan beliau dalam menyampaikan dakwah namun, tidak pula ketegasan tersebut menutup terus kelembutan wajah keibuan. Aku insan yang baru bertatih dalam dunia yang telah beliau ceburi bertahun lamanya. “Kami bertujuh, berusaha dengan sungguh-sungguh, cari jalan untuk pergi ke Mesir, untuk sambung belajar. Zaman dulu mana ada scholarship. Mak ayah pulak, penoreh getah.” Mendengar kata-katanya, membuat aku kagum. Mendengar pengalamannya bikin aku terpana.

“Sampai sahaja di Mesir, kami meneruskan kehidupan sebagai pelajar. Yang paling banyak berjasa memberi kami pengisian, kakak-kakak seniorlah.” Beliau riang sekali menceritakan pengalaman beliau sewaktu menjalani proses tarbiyyah di bumi Mesir kepada semua yang ada di situ. Semua yang ada di situ ibarat sepakat, merelakan beliau mengimbau kenangan-kenangan lalu bersama rakan seperjuangan. Kami semua mendengar dengan penuh khusyuk. Setiap kata-katanya, kami hadam satu-persatu. “Tetapi, apa yang mengecewakan apabila kakak murobbiyah kami tu, lemah lembik orangnya. Dalam erti kata lain, lembut dan sopan.” Beliau sambung lagi, “Kita ni budak kampung, kasar dan ganas. Jiwa muda, semangat berkobar-kobar. Keras! Tegas! Lemah betul bila berdepan dengan murobbiyah macam ni!” Beliau tergelak kecil mengenang kisah lampau tersebut. Aku dan yang lain turut ketawa sama mendengar omelannya.

“Tetapi sekarang, barulah kita sedar betapa ruginya.” Kami semua memandang beliau dengan perasaan yang bercampur. Aku yang agak lambat dalam memproses maklumat, tertanya-tanya, apa yang ruginya? Melihatkan wajah anak-anak di hadapannya yang berkerut dahi memikirkan kata-katanya tadi, beliau menjelaskan, “Rugilah. Rugi kerana tak sempat belajar daripadanya. Belajar untuk sopan, untuk lemah lembut. Itukan sifat perempuan. Perempuan perlu dilengkapi dengan sifat-sifat keperempuanannya. Masa tu, kita tak perasan sebab kita muda. Kita tak nampak.” Mendengarkan itu, barulah aku faham akan maksudnya. Sehingga kini, aku masih lagi terfikir-fikir akan kata-katanya. ‘Rugi kerana tak sempat belajar.’ Sepotong ayat yang sangat ringkas, tetapi padat isinya, mendalam maknanya.

Melaluinya aku jadi tahu. Melaluinya aku jadi sedar. Aku tahu, setiap apa yang berlaku disekeliling kita mempunyai ibrah tersendiri. Tiadalah Allah mengaturkan setiap sesuatu itu,dengan saja-saja mahupun suka-suka. Aku sedar, sesuatu yang ada di depan mata seharusnya dihargai, bukan dikritik. Betapa perlunya kita mencari tahu, daripada segala yang berlaku, daripada segala yang kita dapat, apa sebenarnya yang Allah mahu kita belajar.

Begitulah caranya Allah menunjukkan kasih sayangnya kepada kita hambaNya. Tidak pernah sekalipun Allah meninggalkan kita berjalan sendiri tanpa hala tuju. Tidak pernah juga Allah membiarkan kita tenggelam tanpa ilmu. Oleh sebab itu, Allah menciptakan manusia juga dengan bermacam ragam, pelbagai fi’il. Untuk apa? Supaya kita dapat belajar daripada satu sama lain. Allah juga menciptakan alam dan  isinya. Supaya setiap daripada kita dapat belajar melaluinya. Subhanallah. Hebatnya cara Allah mentarbiyah hamba-hambaNya.

Sekian perkongsian buat kali ini. Allahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Saya manusia yang tidak sempurna.
Kerana itu, saya sampaikan dakwah kecil setakat yang saya tahu.
Pesanan yang saya tulis bukan sebab saya orang alim
tetapi sekadar usaha supaya dikasihi-Nya.
Jika banyak kekurangan yang terlihat, anda benar.
Itulah saya.