"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian
kecuali orang yang beriman dan beramal soleh yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran."
(Al 'Asr 103: 1-3)
Saxophone-09 I Know Inst Lee Jung Sik

Powered by mp3crop.com

Sunday, November 11, 2012

Ajarkan Aku!


Bismillahirrahmanirrahim.
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
Salam ukhuwah.



“Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah:32). Sudah semestinyalah Allah yang Maha segalanya sepanjang masa.

Lewat malam itu, kami berkumpul bersama demi mendengar peringatan-peringatan yang mampu melonjakkan iman. Tiba-tiba sebuah soalan dilontarkan kepada kami; “Kenapa Rasulullah menyeru golongan muda, golongan pemuda-pemuda untuk memeluk agama Islam?” Pada ketika itu, semua yang berada di situ diam memikirkan jawapan kepada lontaran soalan yang tidak terjangkau dek akal itu. Beliau menyambung lagi; “Pada zaman baginda, sahabat-sahabat bukanlah mereka yang sebaya dengannya, malah lebih muda. Saidina Ali karamallahuwajhah sendiri contohnya, baginda didik sejak dari kecil.” Suasana masih lagi sunyi. “Ini kerana, golongan pemuda ini mempunyai semangat yang berkobar-kobar. Dalam apa pekerjaan yang dilakukan, pasti akan disertai dengan kesungguhan oleh golongan muda ini. Macam antunna semua ni.”

Di mata aku, beliau sangat hebat. Seorang murobbiyah yang penuh dengan ilmu. Disebalik wajah berusianya itu, langsung tidak dapat menyembunyikan ketegasan beliau dalam menyampaikan dakwah namun, tidak pula ketegasan tersebut menutup terus kelembutan wajah keibuan. Aku insan yang baru bertatih dalam dunia yang telah beliau ceburi bertahun lamanya. “Kami bertujuh, berusaha dengan sungguh-sungguh, cari jalan untuk pergi ke Mesir, untuk sambung belajar. Zaman dulu mana ada scholarship. Mak ayah pulak, penoreh getah.” Mendengar kata-katanya, membuat aku kagum. Mendengar pengalamannya bikin aku terpana.

“Sampai sahaja di Mesir, kami meneruskan kehidupan sebagai pelajar. Yang paling banyak berjasa memberi kami pengisian, kakak-kakak seniorlah.” Beliau riang sekali menceritakan pengalaman beliau sewaktu menjalani proses tarbiyyah di bumi Mesir kepada semua yang ada di situ. Semua yang ada di situ ibarat sepakat, merelakan beliau mengimbau kenangan-kenangan lalu bersama rakan seperjuangan. Kami semua mendengar dengan penuh khusyuk. Setiap kata-katanya, kami hadam satu-persatu. “Tetapi, apa yang mengecewakan apabila kakak murobbiyah kami tu, lemah lembik orangnya. Dalam erti kata lain, lembut dan sopan.” Beliau sambung lagi, “Kita ni budak kampung, kasar dan ganas. Jiwa muda, semangat berkobar-kobar. Keras! Tegas! Lemah betul bila berdepan dengan murobbiyah macam ni!” Beliau tergelak kecil mengenang kisah lampau tersebut. Aku dan yang lain turut ketawa sama mendengar omelannya.

“Tetapi sekarang, barulah kita sedar betapa ruginya.” Kami semua memandang beliau dengan perasaan yang bercampur. Aku yang agak lambat dalam memproses maklumat, tertanya-tanya, apa yang ruginya? Melihatkan wajah anak-anak di hadapannya yang berkerut dahi memikirkan kata-katanya tadi, beliau menjelaskan, “Rugilah. Rugi kerana tak sempat belajar daripadanya. Belajar untuk sopan, untuk lemah lembut. Itukan sifat perempuan. Perempuan perlu dilengkapi dengan sifat-sifat keperempuanannya. Masa tu, kita tak perasan sebab kita muda. Kita tak nampak.” Mendengarkan itu, barulah aku faham akan maksudnya. Sehingga kini, aku masih lagi terfikir-fikir akan kata-katanya. ‘Rugi kerana tak sempat belajar.’ Sepotong ayat yang sangat ringkas, tetapi padat isinya, mendalam maknanya.

Melaluinya aku jadi tahu. Melaluinya aku jadi sedar. Aku tahu, setiap apa yang berlaku disekeliling kita mempunyai ibrah tersendiri. Tiadalah Allah mengaturkan setiap sesuatu itu,dengan saja-saja mahupun suka-suka. Aku sedar, sesuatu yang ada di depan mata seharusnya dihargai, bukan dikritik. Betapa perlunya kita mencari tahu, daripada segala yang berlaku, daripada segala yang kita dapat, apa sebenarnya yang Allah mahu kita belajar.

Begitulah caranya Allah menunjukkan kasih sayangnya kepada kita hambaNya. Tidak pernah sekalipun Allah meninggalkan kita berjalan sendiri tanpa hala tuju. Tidak pernah juga Allah membiarkan kita tenggelam tanpa ilmu. Oleh sebab itu, Allah menciptakan manusia juga dengan bermacam ragam, pelbagai fi’il. Untuk apa? Supaya kita dapat belajar daripada satu sama lain. Allah juga menciptakan alam dan  isinya. Supaya setiap daripada kita dapat belajar melaluinya. Subhanallah. Hebatnya cara Allah mentarbiyah hamba-hambaNya.

Sekian perkongsian buat kali ini. Allahu'alam.

Monday, September 17, 2012

Bismillahirrahmanirrahim.
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
Salam ukhuwah.

Alhamdulillah. Masih bernafas hari ini. Alhamdulillah masih diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat. Setelah agak lama menangguhkan penulisan, saya kembali menaip di sini. Semoga apa yang ditulis dapat menambah ilmu dan menyalurkan saham akhirat buat saya. InshaAllah.

Sahabat. Satu perkataan yang sangat mudah dikenali tetapi tidak difahami selayaknya. Apa yang dikatakan sahabat, dan siapa sahabat. Pernah saya terbaca sepotong ayat yang mengatakan, mencari sahabat yang baik itu ibarat mencari permata dalam timbunan kaca. Perlu berhati-hati, agar tidak tersalah pilih, agar jari tak terluka pedih. Wah, mendalamkan kata-katanya. Ya, fikirkan. Kaca dan permata, hampir sama dari kejauhan. Keduanya berkilau memancar disimbah mentari. Tetapi bila kita dekati, bila ditilik, dibelek, ternyata kilauannya berbeza.

Menjadi seorang yang berjalan di atas titian tarbiyyah, membuatkan saya melihat persahabatan dari perspektif yang berbeza. Saya menjadi kenal yang mana satu kawan, dan siapa pula sahabat. Dan suka untuk saya kongsikan di sini, beberapa pendapat saya dalam bersahabat. Secara jujurnya saya bukanlah insan terbaik. Namun saya akan sentiasa cuba menjadi lebih baik.

"Hebatnya seseorang itu apabila ada yang mendorongnya. Kuatnya seseorang itu apabila ada yang menyokongnya."

Ada lima peringkat yang telah digariskan untuk kita, bagaimana caranya untuk bersahabat. Lima peringkat tersebut adalah:
  1. Ta'aruf  (saling mengenal)
  2. Tafahum (saling memahami)
  3. Ta'awun (saling tolong menolong)
  4. Takaful (saling menanggung)
  5. Itsar (mendahulukan orang lain lebih dari diri sendiri)

Menilik perkara yang selalu terjadi kepada diri saya sendiri yang sentiasa mempunyai masalah dalam berkawan, contohnya salah faham, cemburu, penting diri sendiri, dan banyak lagi, membuat saya kembali berfikir, kenapa saya sukar untuk mempunyai kawan rapat a.k.a best friend forever. Syukur kini, saya menjumpai jawapannya. Dan  kakak kesayangan saya juga berpesan andai kita mempunyai masalah dengan manusia, cuba recheck hubungan kita dengan Allah. Pasti ada yang tidak kena. Tiada guna kita terus menerus menyalahkan orang lain, sebaliknya tilik kesalahan pada diri sendiri. Kita tak mampu ubah orang lain, tapi kita mampu untuk ubah diri sendiri.

Cuba lihat semula tingkat-tingkat mencapai persahabatan atau lebih molek digelar ukhuwah. Adakah kita benar-benar telah mengenali sahabat kita? Namanya, asalnya, tempat tinggal, adik-beradik serta ibu bapanya? Dan adakah kita benar-benar memahami sahabat kita? Kesukaan dan kegemarannya? Memulakan persahabatan tidak sukar. Cukup dengan mengenali latar belakang. Namun untuk bersahabat, kita perlukan lebih daripada itu. Setiap yang kita lakukan. Lihat pula tingkat seterusnya, adakah kita saling bertolongan dengan sahabat juga saling bergantungan? Bila susah, kita cari dia, dia tolong. Begitu juga sebaliknya. Saling menasihati dan memberi pendapat dalam keputusan. Dan tingkat yang tertinggi adalah apabila kita mampu mendahulukan sahabat kita lebih daripada diri sendiri iaitu bilamana sehingga kita bersusah payah demi sahabat. Kita mampu melepaskan sesuatu yang paling kita sukai buat sahabat kita.

Ibu saya selalu berpesan sejak saya mula pandai berkawan. 

"Jangan rapat sangat. Nanti gaduh!" 

dan 

"Tak payah ada kawan baik. Ibulah kawan baik kak long." 

Dan selalu juga saya ingkar. Saya selalu cemburu dengan insan yang ada kawan rapat. Kawan yang ke sana ke mari bersama, cara pemikiran juga sama, keinginan dan kegemaran juga sama. Ada juga yang berbeza, tapi mereka tetap nampak serasi di mata saya. Malah ada juga mereka yang memilih untuk berkawan seara berkelompok, membentuk sebuah geng. Bila jalan ramai-ramai, mereka nampak gah. Bukan saya tak pernah ada kawan rapat, tapi takde yang kekal. Sekarang saya tahu, tafsiran saya sebenarnya silap. Kawan akan datang dan pergi. Itu lumrahnya. Tapi kalau kita sayangkan kawan kita, kita takkan biar dia pergi. 

Pada saya, berbeza pendapat dalam sesebuah persahabatan itu biasa. Sebab betapa Allah itu Maha Hebat, Dia mampu menciptakan manusia berbeza-beza. 'Give and take' sangat diperlukan dalam sesebuah persahabatan. Mungkin ada yang akan menjawab, 

"asyik kita saja yang mengalah. Dari sekolah rendah sampai dah beranak pinak, asyik dia saja nak betul." 

MasyaAllah. Lihat, betapa banyaknya pahala yang awak dah kumpul sepanjang awak bersabar tu. Tak rugi pun kita sabar. Memang manusia tak hargai, tapi Allah tahu. Tak payah risau. Kalau dulu saya akan selalu sebut ini 

"bukan dia yang bagi aku makan pun!" 

Betulkan? Tapi sekarang berbeza. Selalulah fikir macam ni 

"bukan pandangan manusia yang kita nak, tapi pandangan Allah". 

Senyum.

Seperti yang saya beritahu, saya bukanlah orang yang terbaik untuk memberi, tetapi saya cuba yang terbaik. Saya masih juga dalam proses memperbaik diri. Dan saya berpegang pada satu ayat yang saya pernah dengar.

"Untuk jadi baik, kita perlu mencari dan bersahabat dengan orang baik. Tetapi, jangan terlalu mendambakan sahabat yang baik, sebaliknya cubalah menjadi seorang sahabat yang baik buat sahabat anda."

Akhir kalam, mari kita renungi sebuah hadis famous ini;
Sabda Rasulullah S.A.W  
"Belum sempurna iman kalian sampai kalian mencintai saudara kalian seperti halnya kalian mencintai diri kalian sendiri,"
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Sekian perkongsian buat kali ini. Allahu'alam.

Tuesday, June 12, 2012

As-Sami' : An Answer From Above.


Bismillahirrahmanirrahim.
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
Salam ukhuwah to all readers.


Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi tentang nama-nama Allah yang amat indah. Salah satunya yang saya pilih adalah As-Sami' yang bermaksud Maha Mendengar. Ya, sahabat-sahabat sekalian, Allah Maha Mendengar setiap segala sesuatu. Maha Mendengar Allah ini biasanya dikaitkan dengan doa hambaNya. Kita yakin Allah Maha mendengar, oleh sebab itu kita berdoa. Kerana kita yakin, bila Allah dengar, maka Allah akan tunaikan permintaan kita. Segala macam bentuk permintaan yang kita minta, mahu dimurah rezeki, mahu lulus ujian, mahu menang plihan raya, mahu miliki jodoh. Apa yang kita tidak pasti ialah, bilakah agaknya Allah akan berikan apa yang kita minta. Dan kadang-kadang sampai kita sendiri lupa, bila masanya kita pernah meminta ini dan ini?






Nur Dianah meng'update' status muka bukunya [baca: facebook] buat yang kesekian kali. Sungguh, Dianah harap insan di sebelah sana akan membacanya. Itu jawapannya bagi status insan sebelah sana yang menyatakan 'I catch you if you fall'. Dalam hati Dianah, harapan itu sentiasa mekar. Ibarat setiap hari harapan tersebut disiram dengan doa dan air mata.



*****


Dianah bersendirian. Dua hari bermastautin di rumah nenek melakukan rutin harian yang sama. Bangun pagi, pergi pasar, balik pasar, sediakan sarapan, online, offline, online, offline. Macam tiada kehidupan. Kebetulan pula Dianah berada dalam tempoh bulan penuh. Hendak mengaji pun tak boleh. Cuma boleh baca terjemahannya, dan tanda dengan penanda lutcahaya berwarna-warni pada ayat yang sepertinya memberi keinsafan. Namun Dianah cuma gadis biasa. Tak mungkin dia tahu apa yang akan terjadi untuk 2 3 saat akan datang. Mungkin hari ini terdapat kelainan.

Rancangan Halaqah Sentuhan Qalbu menarik minat Dianah. Alhamdulillah, Dianah semakin berminat dengan ilmu-ilmu yang merangsang jiwa dan minda ke arah pembentukan identiti muslimah yang positif. Panel jemputan rancangan tersebut merupakan Dr Robiah K Hamzah. Seorang yang baru pertama kali Dianah lihat. cara dan gaya penyampaiannya begitu memberi kesan di hati Dianah. Topik yang dibicarakan adalah Bayangan Kasih Ibu. Dianah yang sedia lembik hati, apalagi. T_T

Ia tidak berakhir disitu. Dianah search di laman sesawang mencari andai ada talk show yang menampilkan Dr Robiah K Hamzah. Dan alhamdulillah, apa sajalah yang tak boleh dijumpai di laman sesawang. Maklumat di hujung jari. Dianah menjumpai video rancangan Tanyalah Ustazah yang membincangkan topik Indahnya Ikhlas. Dianah download dan tonton. Terangguk-angguk Dianah mengiyakan ulasan-ulasan dari Dr Robiah K Hamzah, sungguhpun Dr tersebut tidak dapat melihatnya. Tergelak-gelak Dianah bila ada kata-kata Dr yang mencuit hati. Biasalah, untuk menjadikan sesuatu yang menarik perhatian pendengar, unsur kecindan itu perlu. Ibarat guru yang cuba menarik perhatian murid sewaktu dalam kelas. Tak boleh selalu serius. Ada masanya perlu pandai bergurau-senda.

*****

"Alamak, nak terbakar ke laptop aku nih?" Dianah off laptopnya yang kepanasan dan mengeluarkan sedikit bau hangit. 
"Ish, tulah, takde cooler, kan dah panas" Dianah masih berbicara sendiri.

Dianah menyorotkan pandangan pada buku-buku yang dibawa dari rumah. Hajatnya sebagai penghilang kebosanan. Omong kosong semata. Dari pagi sampai tengah malam Dianah mengadap muka buku dan laman burung. [baca: twitter]. Dan sekarang, Dianah kebosanan. Untuk baca buku, mungkin tidak kerana matanya terasa amat berat sekali.



Dianah beralih dari sofa paling hujung ke sofa tengah. Dan beralih lagi dari sofa tengah ke hujung. Bosan. Itulah yang dirasakan. Dianah duduk diam dan melayangkan fikirannya entah ke mana-mana. Tiba-tiba hati Dianah rasa semacam. Tiba-tiba teringat pada insan sebelah sana. Tiba-tiba terfikir akan soal jawab yang terjadi antara insan sebelah sana dengan teman sekelas sewaktu di sekolah menengah. Isu kahwin. Insan sebelah sana menjawab penuh santai. Ibarat tiada apa yang asing pernah terjadi. Sepertinya semua masih seperti dahulu. 

"Kumpul dana", bilangnya. Ikhlaskah insan sebelah sana?



Ikhlas. Apa itu ikhlas? Katanya Dr Robiah K Hamzah, dikata oleh Imam Al Ghazali, orang yang ikhlas itu sama sekali tidak akan terkenang-kenang, apalagi mengungkit-ngungkit. Dianah duduk sendirian berfikir dan terus berfikir sehingga fikirannya berlabuh pada kenangan.


'Sepanjang aku berkawan dengan insan sebelah sana, aku sentiasa mengungkit-ngungkit, apa yang aku pernah buat. Ikhlaskah aku mencintai insan sebelah sana pada waktu itu?' 
'Dan ikhlaskah aku mencintai Allah dan Muhammad kerana masih ada insan sebelah sana dalam hati aku?' kata hati Dianah.

Dan kenangan itu hadir lagi.

*****


Dianah tercari-cari pen dan kertas. Setelah jumpa Dianah mencoretkan apa yang sedang diluahkan dalam hatinya. Suatu proses terapi mungkin. Namun, air mata yang mengalir. Berbelah bahagi hatinya. Cintakan Allah, sangat cinta hingga takut benar rasanya jika menyimpan insan sebelah sana di sudut kecil hati ini menjadi suatu kesalahan. Lalu segalanya Dianah luahkan. Tanpa niat untuk sesiapa membacanya. Cuma coretan biasa.


Merenung kembali kenyataan yang telah berlalu. Sudah hampir 3 bulan. Betapa terasa begitu pantas masa berlalu dan sekelip mata dia pergi. Meninggalkan aku meniti hari-hari seorang diri. Perginya tanpa kata pasti. Masihkah diri ini dikasihi? Syukur Allah masih bersamaku. Di saat aku jatuh, Allah menyambutku, dengan segala macam bentuk kasih sayang Allah campakkan buat hati ini. Terasa rindu. Rindu kepada makhluk ciptaan Allah itu. Namun aku sedar, rindu pada Allah lah yang seharusnya aku salurkan. Terkadang hati ini rapuh sekali menangisi segala yang terjadi. Namun cepat sekali Allah memberi jawapan pasti melalui saluran-saluran tak terduga. 'Cintailah Aku nescaya akan berbaliklah cinta manusia padamu'. Seringkali aku terfikir, andainya dia bukan untukku, lenyapkanlah sekelip mata perasaan dalam hatiku buatnya. Namun bukan itu yang aku terima. Allah ingin mendidikku, supaya mencintai yang lebih Berhak, Allah ingin mengajarku merintih dam meminta padaNya. Allahuakbar! Maha Suci Allah! Begitu sekali sayangMu pada aku yang kerdil ini? Dan aku? Mampukah aku mencintaiMu? Maafkan aku andai hati ini tak sempurna mencintaiMu. Ampunkan aku. Terkadang terbabas aku ke sebuah lembah perasaan. Rupanya aku seorang diri. Tiada lagi dia yang menemani. Terhapus segala janji yang tak layak untuk ditepati. Cinta!? Cinta manusia yang sementara. Adakah Kau yakin aku kuat Allah? Kerana itu ditimpakan ujian ini buatku kini? Sesungguhnya Allah lebih kenal aku dari diriku sendiri. Sungguh aku sunyi. Allah ada menemani. Sungguh aku sepi. Ada Al Quran sebagai lullaby. Ya Allah, janganlah kau izinkan aku sendiri, kurniakan aku teman yang mencukupi. Supaya menjadi pelengkap. Andai iman ku tidak cukup kental, dengan dia aku menjadi lebih kental. Andai cintaku tidak cukup, dengan dia cintaku padaMu menjadi cukup. Allah, apa yang terbaik dariMu, redhakanlah hatiku. Redhakan aku dan redhailah aku. Kau kurniakan aku dengan perasaan, maka Kau beri kekuatan untuk mengawalnya. Sebenarnya aku dah putus cinta. Aku dah hampir 3 bulan putus cinta. Cumanya aku tak mahu terima hakikat. Aku meletakkan title berpisah kerana Allah, kerana kukira hubungan yang sebelumnya salah., takde betulnya. Tapi aku masih tidak ikhlas. Kerana aku masih terkenang-kenang. Adakah aku tak redha? Tetapi dia bukan kepunyaan sesiapa. Adakah aku bermula semula? Aku tak pasti. Di tengah-tengah pencarian cinta Illahi, aku terkandas dengan perasaan kasih tak bertepi. Ampunkan aku Allah. Ampunkan aku.


Cukup sampai situ, Dianah berhenti menulis. Panjang. Memang panjang luahan rasa hatinya. Dan mengambil masa juga. Bersama deraian mutiara. Sebak. Sedih. Kecewa. Kesal. Segala macam rasa. Usai menulis, tergerak hati Dianah untuk check handphone. Kedengarannya seperti ada mesej masuk tadi. Tapi, oleh sebab sedang asyik melayan perasaan, Dianah biarkan dulu. Lalu kali ini Dianah capai handphone kesayangan yang sangat istimewa dihati Dianah. Pemberian ibu angkatnya. Dianah fikir mungkin si kecil yang keletah yang hantar mesej. Baru pulang dari sekolah mungkin. Ternyata Dianah silap. Ia dikirim oleh seorang teman, dan sahabat. Teman sesekolah Dianah dan insan sebelah sana. Sahabat mereka berdua. Apa yang lebih memeranjatkan adalah kiriman tersebut berbunyi begini :

Sahabat
12.06.2012
16:05
When Allah gives us 'NO' for an answer, keep in mind that there is a much greater 'YES' behind it. His 'NO' is not a REJECTION, but a REDIRECTION

Pada awalnya, Dianah pandang sepi kiriman tersebut. Namun jemarinya pantas menaip mengucapkan terima kasih dan ditekan butang send. Hampa. Nilai kreditnya sudah tamat tempoh. Walaubagaimanapun, Dianah tetap berterima kasih pada sahabatnya itu. 



*****


Dianah rebahkan badan melayan sedih dan mengantuk sambil menanti azan 'Asar. Tiba-tiba diilhamkan padanya sesuatu. 

"MasyaAllah".
"Maha Suci Allah". 
"Inilah jawapan Allah atas rintihanku". Dianah berbisik.

Gerak hati Dianah kuat menyatakannya.

"Astaghfirullahal'azim". Berkali-kali Dianah mengucapkan istighfar dan "Allahuakbar". 
"Betapa besar sungguh kekuasaanMu Ya Rabb". 
"Kau jawab rintihanku". 
"Sungguh aku malu kerana aku merintih dan bersedih. Sungguh aku malu Ya Rabb".

Dihadapan Dianah pada ketika itu, tergantung frame gambar Ka'abah. Sayu rasa hatinya. Namun gembira amat yang tidak terkata. Terharu dengan keprihatinan dan kasih sayang Allah. Ibaratnya, jika kita terlalu gembira, pasti akan kita peluk insan yang berdekatan. Begitulah Dianah. Namun Dianah cuma mampu memeluk bantal kesayangannya yang berada berdekatan. Dan apabila Dianah malu, sepertinya Allah sedang melihatnya, lalu Dianah sorokkan mukanya disebalik bantal. 

"Sungguh, aku dapat rasakan cinta Allah yang sebenar-benarnya". 
"Ya Allah, sungguh aku cinta padaMu Ya Rabbul Izzati".

Dianah menangis semahunya. Dianah bahagia.

*****


Wahai gadis-gadis yang gelisah,

Wahai gadis-gadis yang gundah,
Wahai gadis-gadis yang resah,
Wahai gadis-gadis yang terasa lemah,
Wahai gadis-gadis yang terasa lelah,
Wahai gadis-gadis yang sedihnya tidak kebah,


Bangunlah dari lenamu, sayang. Masa yang ada sebenarnya tidak cukup buatmu mengumpul amal untuk bekalan di akhirat sana. Ingatlah atas sebab apa kau dilahirkan di dunia ini. Dan di manakah pengakhiran yang kau mahukan. Andai syurga yang kau impikan, bangkitlah! Jangan duduk dan bersedih. Majulah ke depan dengan saki baki kekuatan yang Allah pinjamkan. Menapak dan berusahalah dengan gigih untuk mencapai syurga impianmu, sebagai bidadari yang malah dicemburui oleh bidadari yang tersedia. Usah kau tangisi nasibmu. Jangan kau mengeluh atas ujianmu. Sedangkan Allah telah berfirman : 


Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, " kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

(Al-Ankabut : 2-3)

*****


Ya Allah Ya Tuhan kami. Yang paling mengenali kami. Yang paling tahu isi hati kami. Janganlah kau palingkan hati kami dari mencintaiMu. Kami mahu bahagia dengan mencintaiMu. Izinkanlah kami Ya Allah. Jika kami berbuat khilaf ampunkanlah. Jika kami terlupa dan  terleka, ingatkanlah kami. Kami mahu hidup dalam naungan dan pantauanMu, Ya Allah. Peliharalah hati kami Allah, agar cinta padaMu menjadi keutamaan dalam hati ini.



Sampai sini dulu perkongsian kali ini. Allahu'alam.





p/s : berjinak-jinak untuk menulis. andai ada yang kurang harap boleh bagi komentar yang membina. ^_^


Monday, June 11, 2012

[Reflection] Meniti Jalan Suci.

Bismillahirrahmanirrahim.
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
Salam ukhuwah to all readers.



Alhamdulillah. Beberapa hari lalu, saya sudah berjaya mengkhatamkan buku Meniti Jalan Suci yang saya pinjam daripada naqibah saya. Terima kasih Kak Nisa. Meniti Jalan Suci. Pertama kali saya direcommendkan buku ini secara tidak sengaja oleh Kak Nisa sewaktu perjumpaan terakhir kami buat semester lepas, hati saya melonjak-lonjak untuk membacanya. Oleh yang demikian, dua hari sebelum mula cuti semester, saya gagahkan diri untuk memanjat anak tangga ke bilik Kak Nisa. Semata-mata kerana Meniti Jalan Suci.

Perasaan saya. Pertama kali saya memegang buku tersebut setelah Kak Nisa menyerahkannya pada saya, amat tidak tergambarkan. Terharu mungkin. Hampir menitis air mata ini. (Waktu tu kena cover lah, takkan hendak menangis depan Kak Nisa pula ^.^). Ditambah lagi menatap wajah kasih sayang Kak Nisa, sungguh hati ini cair. Sungguh saya cinta Kak Nisa kerana Allah.

Meniti Jalan Suci menunjukkan kepada kita semua yang sentiasa berkeadaan sibuk dengan hal-hal dunia betapa pentingnya hidup ini berpaksikan agama (Islam). Terlalu banyak komitmen yang menuntut masa kita yang diberikan Allah, 24 jam sehari sehingga tiada lagi masa yang kita ada untuk mengadap Allah Azza wajalla samada untuk berterima kasih atas nikmatNya ataupun untuk merintih mengharap bantuanNya.

Sebelum membaca Meniti Jalan Suci ini saya mempunyai harapan agar bacaan ini akan menjadi medium untuk saya mula melangkah dengan lebih gigih di atas muka bumi Allah ini setelah diri pasrah diuji. Alhamdulillah, apa yang saya dapat bahkan lebih besar daripada itu. Makna Islam yang lebih luas, yang saya tidak pernah tahu, merangkumi kehidupan rohani, sosial dan muamalat. Meniti Jalan Suci membuka mata saya untuk mula mencari erti penghidupan sebagai seorang mujahadah. Alhamdulillah, saya dapat merasakan perubahan jiwa saya. Saya mengerti yang saya tidak keseorangan, kerana Allah bersama saya.

Salah satu tajuk dalam Meniti Jalan Suci yang menarik hati saya adalah Tuhan Sudah Ingatkan Kita, Tapi Kita Selalu Lupa. Lumrah manusia, mudah lupa, sentiasa perlu diingatkan. Membaca tajuknya saja mengingatkan saya pada pengalaman-pengalaman lepas yang membentuk diri saya pada hari ini. Dan juga pengalaman yang baru saja dilewati yang mendorong saya untuk bangkit bersama semangat baru. Semuanya sebagai peringatan buat diri ini yang penuh khilaf. Semoga Allah ampunkan saya.

MasyaAllah. Bukan mudah semuanya bagi saya, tetapi Allah memudahkan segalanya buat saya. Suka saya mengambil iktibar dari apa yang diperkatakan oleh Ibn Al-Jauzi : Suatu urusan menghimpitku membuatku cemas dan gelisah berlarut-larutan. Aku terus berfikir mencari jalan penyelesaian dan kecelaruan itu dengan berbagai cara dan usaha. Tetapi aku tidak menemukan satu jalan penyelesaian pun untuk keluar darinya, hingga ada sebuah ayat yang menawarkan kepadaku, ayat itu adalah : 
..... barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.(65:2)

Dan satu lagi ayat popular yang sentiasa dapat saya baca di mana-mana. 
Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.(94:5-6)

Oleh yang demikian, sampai sini sahaja dulu perkongsian kali ini. Allahu'alam.



p/s : sama-sama kita teroka penghidupan sebagai muslimin dan mukminin. InsyaAllah.

Sunday, June 10, 2012

A Destined Journey.

Bismillahirrahmanirrahim.
In The Name of Allah The Most Gracious and The Most Merciful.
Salam ukhuwah buat pertama kalinya to all readers. :)

Alhamdulillah. Akhirnya tercapai hasrat untuk mebuka blog baru ini. Ini bukanlah blog pertama saya, malah ini merupakan jilid yang ketiga. Kenapa ketiga? Awat banyak sangat blog dia nih? Banyak ceritanya, yang mungkin akan saya bongkarkan dari semasa ke semasa. Hehe,  mungkin. Bersempena tajuk blog, saya abadikannya pada entri pertama ini.

A Destined Journey


Seperti yang semua orang percaya, khususnya buat yang beragama Islam, dunia ini merupakan sebuah persinggahan bagi kita semua untuk ke destinasi yang lebih hakiki iaitu Negeri Akhirat. Dan perjalanan setiap manusia di muka bumi ini sebenarnya telahpun ditentukan oleh Ya Rabb di Lauhul Mahfudz. Sama ada di sepanjang perjalanan kita ini, kita akan ke kiri, ke kanan, jatuh bangun, semuanya telah tertulis. Tinggal kita melaluinya sahaja. Namun, perjalanan kita ini tidaklah semudah yang disangka. Terlalu banyak yang akan kita jumpa di pertengahan jalan yang akan mengisi kehidupan kita yang sebenarnya sebuah perjalanan. Dan bagaimana caranya kita mengisi perjalanan kita supaya kita bersenang-senang di Negeri Akhirat. 

Allah berfirman; Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat (51:56)

Dan kita tertanya-tanya, untuk apa pula beribadat sedangkan katanya perjalanan menuju ke sebuah destinasi. Katanya sudah tertulis semuanya, tinggal jalan sahaja. Benar, semuanya telah siap, tetapi kita boleh memilih, kerana di Negeri Akhirat nanti, terdapat dua pengakhiran iaitu syurga yang penuh kesenangan dan kenikmatan, juga neraka yang dihiasi api dan azab. Naudzubillah. Semoga kita semua, saya dan sahabat, tergolong dalam golongan yang dimasukkan ke dalam syurga Allah. Ameen.

Harapan saya, semoga saya dapat berkongsi ilmu dengan sahabat sekalian tentang apa yang saya dapat. Dan mengharap sahabat semua sudi menambah apa-apa yang kurang. Semoga usaha saya ini mendapat sokongan sahabat-sahabat sekalian dan sudah tentu redha Allah s.w.t yang paling saya harapkan. Jihad fisabilillah. Semoga ilmu yang kita ada makin bertambah dan ilmu yang kita kongsikan menjadi sumber pahala buat kita apabila dipanggil pulang oleh Ya Rabb, InsyaAllah.

Allahu'alam.


p/s : pilihlah jalan-jalan yang membawa kita ke syurga. ^.^

Saya manusia yang tidak sempurna.
Kerana itu, saya sampaikan dakwah kecil setakat yang saya tahu.
Pesanan yang saya tulis bukan sebab saya orang alim
tetapi sekadar usaha supaya dikasihi-Nya.
Jika banyak kekurangan yang terlihat, anda benar.
Itulah saya.